There was an error in this gadget

Friday, August 6, 2010

An Old Essay

While unpacking my boxes of old stuff, I came across this Malay essay I wrote for some contest back in secondary school. What's awesome about reading it was that I'd totally forgotten the plot and found myself engrossed in a story I wrote myself!


"Pengalaman Saya Bersama Seorang Cacat Penglihatan"

"Bagus sekali persembahan kamu tadi, Adilah!"

"Terima kasih," jawabku sambil tersenyum lebar. Pujian itu telah membangkitkan keyakinanku. Ya, aku begitu yakin dan pasti aku akan menang. Alangkah baiknya kalau aku menang! Bukan sahaja aku boleh menjadi popular di sekolah, malah aku mungkin berpeluang menjadi artis terkenal. Fikiranku mula diselubungi bayangan tawaran syarikat-syarikat pernerbit album seperti EMI, Sony Music, BMG, Virgin Records...
Lamunanku tiba-tiba tergendala. Aku kalap dan lantas menoleh ke arah pentas persembahan. Betapa merdunya suara gadis itu! Sedangkan aku boleh terpegun. Dengan penuh kegelisahan, aku intai riak wajah penonton. Tiada satu pun bunyi yang kedengaran atau pergerakan yang kelihatan. Suara nyanyian gadis di pentas itu sahaja yang bergemaan. Aku tidak berupaya menafikan kermerduan suaranya yang bagai buluh perindu.
"Tidak mungkin..."
Itu sahaja yang mampu aku ungkapkan. Pandanganku kini terpaku pada gadis anggun itu. Apa yang membuatkan aku memerah otak berfikir ialah gadis itu berkaca mata hitam, begitu kontras dengan baju kebayanya.
"Bukankah dia peserta yang buta itu?"
Aku terus memantau ke arah penonton yang telah memecahkan segala ketenangan itu. Kelihatan beberapa penonton lain turut memandang ke arahnya. Kata-katanya telah membeliakkan mataku meneliti gadis di atas pentas itu. Soalanku akhirnya telah terjawab. Gadis itu buta. Sebab itulah dia memakai kaca mata hitam!
Namun, sekali lagi fikiranku terganggu. Kali ini disebabkan tepukan gemuruh di kalangan penonton, menandakan tamatnya persembahan gadis buta itu. Sambutan para penonton begitu menggalakkan. Aku dapat merasakan impianku tergugat. Adakah aku masih berpotensi menjuarai Pertandingan Bintang Remaja ini? Ah, sudah tentu aku boleh menewaskan gadis buta itu! Aku tidak mempunyai sebarang kecacatan. Aku memiliki segala pancaindera yang boleh dikurniakan oleh-Nya. Bukan macam dia. Dia bukannya sempurna. Itulah kelemahannya. Dalam pandanganku, dia seperti cacing hendak menjadi naga. Atas alasan-alasan rekaan sendirilah aku bersandar dan menyokong diri daripada hanyut dalam kegelisahan.
"Perhatian kepada para hadirin."
Keadaan di dalam Dewan Besar Kota Kinabalu berubah menjadi tenang dan senyap.
"Keputusan pertandingan sudah berada di dalam tangan saya. Sebelum keputusan diumumkan, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Datuk Amran Hamdan untuk menyampaikan sijil penghargaan kepada para peserta pertandingan. Dipersilakan, Datuk."
Aku bagai cacing kepanasan. Hatiku semakin buncah. Setiap saat dan minit berlalu dengan begitu perlahan sekali. Setelah aku dan peserta-peserta lain menerima sijil penghargaan, tibalah saat yang dinanti-nantikan.
"Sekarang diumumkan keputusan Pertandingan Bintang Remaja '99. Tempat ketiga jatuh kepada Rajaletchume..."
Aku tidak berani lagi memandang ke arah juruacara. Aku dapat meramalkan kekecewaan. Bagaimana kalau aku tidak menjadi johan? Hancurlah harapanku untuk menjadi artis terkenal kalau aku kalah. Aku bukannya cemerlang dalam pelajaran. Tiada apa-apa lagi yang aku mahir selain menyanyi. Aku mesti menang dalam pertandingan ini.
"Naib johan ialah Adilah binti Abdullah."
Oh, Tuhan! Kenapa boleh jadi begini? Siapa? Siapa yang lebih layak daripadaku? Namun, kenyataan perlu aku hadapi. Dengan jejak kaki yang lemah, aku naik ke pentas untuk menerima hadiahku. Hadiah itu diterima dengan hati yang sungguh tidak puas! Langsung tiada rasa syukur dalam hatiku.
"Johan Pertandingan Bintang Remaja '99 ialah Noraini binti Sulaiman!"
Lantas aku meliarkan mataku mencari orang yang aku anggap telah mencuri kemenangan daripadaku. Atas segala-gala kemasyghulan dan kehambatanku, orang itu ialah... si gadis buta!
"Adilah... Adilah!"
Aku bangun dari imbauanku. Tanpa kesedaranku, aku telah termenung di dalam kelas Cikgu Cheng, guru disiplin sekolah yang ditakuti ramai. Kelihatan beberapa orang rakan tersenyum kambing.
"Apa yang awak buat tadi?" tanya Cikgu Cheng dengan nada keras.
"Saya..."
"Awak termenung, ya?" Kali ini berserta pula dengan jelingan mautnya.
"Maafkan saya, Cikgu."
"Saya mahu awak berdiri di luar kelas sehingga tamat kelas saya."
Aku tidak berani membantah. Aku sedar bahawa aku telah melakukan kesalahan dan Cikgu Cheng cuma ingin menjalankan tanggungjawabnya. Sememangnya kata-kata Aini banyak membawa makna.
"Dalam mayapada ini, sesiapa sahaja boleh mencapai kejayaan. Tidak kira ada kecacatan atau tidak, asal ada tekad dan usaha, kejayaan sudah dalam tangan. Cubalah lihat penyanyi tersohor Stevie Wonder. Beliau juga cacat penglihatan tetapi masih berjaya dalam hidupnya. Kalau beliau boleh melakukannya, mengapa saya dan orang-orang buta lain tidak boleh? Walau bagaimanapun, segala kejayaan adalah pemberian Tuhan. Tuhan telah menampal kecacatan saya dengan bakat dan minat dalam nyanyian. Natijahnya, setiap orang ada keistimewaan masing-masing. Berjaya atau tidak, hanya bergantung sama ada seseorang itu tahu mengasah kemahirannya atau tidak. Oleh itu, saya pasti saudari Adilah boleh mencapai impianmu jika berusaha bersungguh-sungguh."
Begitu panjang lebar penjelasan Aini apabila aku meluahkan rasa tidak puas hatiku kepadanya dua bulan yang lalu. Sehingga kini, aku tidak melupakan kata-katanya. Akanku jadikan kata-katanya sebagai adicitaku bagi menuju ke arah kejayaan dalam hidupku. Akanku tunaikan janjiku dan buktikan kepada Aini bahawa kata-kata akhirnya kepadaku adalah seratus peratus benar. Akanku mengingati gadis buta bernama Noraini yang telah mengubah fikiranku dan menginsafkan aku.
"Adilah! Awak termenung lagi?"
Oh, Tuhan! Bimbingilah aku. Aku tidak mahu dihukum lagi!
Hasil karya,
kaioucat
SM. Konven St. Francis, Kota Kinabalu.


No, I didn't win anything.

1 comment:

Anonymous said...

wow ur bm karangan so pro. dis sure A standard haha....

James